PRESS ROOM

 

Harian Metro (Malaysia)

31 January 2009

 
by Hemananthani Sivanandam

Luah Kisah Cinta Pancing Undi

 
JELITA... (dari kiri) Evonne, Lau, Khor, Wong, Han-ni, Louise, Kimberly, Poo an Yeo bersama gaun masing-masing.     CERIA ... aksi spontan Ng apabila melihat kejelitaan Evonne mengenakan gaun pengantin.

SETIAP pasangan bercinta pastinya mempunyai cerita menarik yang boleh dikongsi bersama masyarakat.

Tidak kira suka mahupun duka, setiap kisah berkenaan mempunyai makna tersendiri kepada pasangan terutama bagi yang merancang mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Pasangan Ng Chor Hao dan Evonne Lau, masing-masing 26 tahun, mempunyai pelbagai kisah menarik sepanjang bercinta untuk dikongsi bersama.

Sepanjang tujuh tahun menyemai cinta, hubungan pasangan ini memang ada pasang surutnya dan mereka pernah beberapa kali berpisah kerana perbezaan pendapat.

Menurut pemuda yang berasal dari Klang, Selangor ini, sikap Evonne yang penyayang serta mudah mesra memang memikat hatinya.

Kata Ng, dia seorang yang suka berada di rumah jika tiada urusan luar dan ia sama dengan sikap Evonne sendiri.

“Evonne adalah satu-satunya wanita sangat istimewa pernah bertakhta di hati saya. Raut senyumannya yang manis serta kelakuannya yang lembut sangat memikat hati saya.

 
BANTU... Teo membantu Kimberly membetulkan kedudukan gaun pengantinnya.  

“Kami kini sedang meniti hari yang membahagiakan dan saya berharap perancangan kami untuk mendirikan rumah tangga tahun depan akan berjalan lancar,” katanya.

Pasangan yang mula bercinta sejak menuntut di sebuah kolej itu serta enam pasangan lain dipilih sebagai tujuh pasangan peringkat akhir pertandingan Love Me Do anjuran Berjaya Hotel dan Resort (BHR).

Menurut jurutera produk ini, pemilihan mereka sebagai tujuh pasangan terakhir memang tidak disangka-sangka dan dia berterima kasih kepada pengundi yang memilihnya.

Kata Ng, pada mulanya dia dan Evonne sekadar suka-suka untuk menyertai pertandingan berkenaan, tetapi selepas terpilih ke peringkat akhir, mereka mula berusaha sebaik mungkin untuk memikat perhatian pengundi.

Katanya, dia dan Evonne kini berada di fasa ketiga pertandingan dan perlu melalui sesi fotografi pakaian pengantin yang ditaja pereka Kris Wong daripada butik That Special Occasion sebelum keputusan diumumkan pada awal Mac depan.

“Evonne yang bertugas sebagai pembantu penyelidik kini menyiapkan ijazah kedoktorannya di Universiti Nottingham.

“Biarpun sibuk, kami tetap meluangkan masa bersama sekerap yang mungkin dan apa yang penting, membuat yang terbaik untuk pertandingan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis khas untuk memilih dan mengukur baju pengantin tujuh pasangan terbabit di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Hotel Berjaya dan Resort, Thang Han-Ni, berkata untuk pertandingan berkenaan, pihak BHR menerima sebanyak 1,850 penyertaan daripada seluruh negara termasuk pasangan dari luar negara.

Kata Han-Ni, daripada jumlah berkenaan, pihaknya memilih 50 pasangan sebelum dikecilkan kepada tujuh pasangan terakhir yang akan bertanding bagi merebut pelbagai hadiah perkahwinan menarik yang disediakan pihak BHR dan penaja bersamanya.

 
TERTARIK ... Wei Nee menunjukkan gaun pengantin pilihannya kepada seorang peserta.  

Katanya, markah pasangan ditentukan orang ramai yang mengundi di laman web lovemedo.com.my dan ia ditentukan sepenuhnya oleh pengundi.

Pada laman web itu, tujuh pasangan berkenaan berkongsi kisah suka duka percintaan mereka di blog yang disediakan.

“Tujuh pasangan berkenaan kini berada di fasa ketiga iaitu memilih pakaian pengantin yang digemari untuk melakukan sesi fotografi bersama jurugambar perkahwinan terkenal.

“Empat daripada pasangan berkenaan akan merakam gambar perkahwinan mereka di Berjaya Hill manakala tiga pasangan lagi akan bergambar di Hotel dan Pusat Konvensyen Berjaya di ibu negara.

“Kami mengharapkan setiap pasangan akan melakukan yang terbaik bagi meraih undi tertinggi sekali gus memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan antaranya tajaan perkahwinan di tepi pantai di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort yang boleh diraikan bersama 58 insan terdekat, suite pengantin, gaun pengantin, rakaman gambar perkahwinan, aksesori, solekan dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, bagi enam pasangan lain iaitu Kelvin Teo Seh Kiat dan Kimberly Yap Huay Sean, Cheah Kei Yuen dan Poo Ming Lee, Lee Chun Boon dan Louise Chu, Daniel Soo Choon Han dan Yeo Wei Nee, Lim Meng Fong dan Khor Hui Ming serta Lim Hsien Han dan Wong Bee Hong, mereka gembira kerana berpeluang memilih pakaian pengantin kegemaran masing-masing untuk dipakai ketika sesi fotografi itu nanti.

“Ini adalah pengalaman pertama kami mencuba pakaian pengantin dan ternyata ia amat menyeronokkan apatah lagi melihat kejelitaan pasangan masing-masing selepas memakai gaun pengantin itu.

“Sesi berkenaan menyemarakkan lagi hubungan serta mengeratkan lagi ikatan percintaan saya dan Kimberly,” kata Teo.

 

Courtesy from myMetro


Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts