PRESS ROOM

 
Utusan.com.my website (Malaysia)
25 December 2007

Oleh: Rahana MD


Chef cilik tunjuk bakat

KEDATANGAN Hari Krismas tahun ini lebih memberi erti kepada lapan kanak-kanak perempuan dari Persatuan Yellow House yang diraikan sebagai chef cilik di Berjaya Hotels & Resort, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis meraikan anak-anak ini memberi pengalaman membuat dan membakar ginger bread sempena Krismas - suasana yang cukup menceriakan dan tidak pernah dirasai oleh kanak-kanak ini.

Menurut Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Berjaya Hotels & Resort, Thang Han-Ni, perayaan Krismas sinonim dengan sumbangan dan perkongsian.

"Kami mengambil kesempatan sempena perayaan ini bukan hanya memberi peluang kanak-kanak ini belajar memasak dengan cara menyeronokkan, bahkan dapat meningkatkan keyakinan serta menghormati bakat dan kemahiran yang mereka ada.

"Sesi masakan ini dapat meningkatkan keyakinan diri para peserta, di samping melatih mereka tentang teknik serta kaedah yang betul dalam penyediaan hidangan.

"Mereka dikehendaki menyediakan masakan dan menghidangkan kepada kakitangan hotel dan secara tidak langsung mendidik mereka berkomunikasi dengan orang awam," ujarnya

Persatuan Yellow House, yang terletak di Selayang, Selangor, merupakan sebuah badan amal tanpa berasaskan keuntungan yang dibangunkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( UNICEF).

Optimis dan positif

Antara projek yang dijalankan termasuk membawa kanak-kanak miskin hidup dalam suasana yang sihat, mengadakan aktiviti seni, bengkel, persembahan, galeri dan sebagainya bagi membentuk jati diri yang optimis dan positif tentang masa hadapan.

Salah seorang kanak-kanak ditemui, Puganeswary Balakrishnan, 16, mengaku seronok dengan aktiviti yang dijalankan dan selepas ini akan mula memasak untuk hidangan keluarga.

"Pengalaman ini sungguh bermakna dan saya berasa sungguh berbangga kerana terpilih. Sebelum ini saya memang tidak suka masak tetapi selepas menyertai kelas masakan anjuran hotel ini, rupa-rupanya ia aktiviti yang menyeronokkan," katanya.

Rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights di Selayang, Selva Pauline Silvanathan, 13, pula menyifatkan, kelas masakan tersebut sebagai hadiah sempena kedatangan Krismas .

"Sebelum ini saya hanya boleh buat sambal di rumah tetapi sekarang saya sudah boleh buat roti. Pengalaman ini sungguh berharga dan saya bercadang membuatnya sendiri di rumah," ujarnya

Bagi Rebecca Arokiasamy, 16, dari sekolah yang sama pula, peluang belajar membuat roti amat bermakna kerana beliau memang bercadang membuka kedai roti pada masa hadapan.

"Saya bercita-cita menceburi bidang perniagaan berasaskan roti dan kek dan peluang ini sungguh bermakna. Selepas ini saya akan mencubanya di rumah dan berharap keluarga akan menggemarinya," katanya tersenyum.



 

Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts