PRESS ROOM

 
KOSMO! Newspaper (Malaysia)
24 November 2007

Oleh ROZAIMI ISAHAK


Santai di Pulau Tioman

 

 

 

 

 

 

 

 

Pantainya yang putih bersih dan air jernih bak kristal menjadikanya syurga kepada pelancong.

Pulau Tioman di Pahang adalah antara 10 buah pulau tercantik di dunia. Faktor kehijauan alam semula jadi, keindahan alam marin, penduduk yang ramah dan penginapan selesa menjadi antara tarikan yang menggamit pelancong dari dalam dan luar negara.

Pantainya yang putih bersih dan kejernihan air bak kristal menjadikannya syurga kepada pelancong untuk melihat keindahan dasar laut. Terdapat juga beberapa buah pulau lain yang berdekatan antaranya Pulau Tulai, Pulau Sembilang, Pulau Chebeh, Pulau Seri Buat, Pulau Jahat, Pulau Sepoi, Pulau Labas dan Pulau Tokong Bahara.

Bagi mereka yang menggemari sukan menyelam skuba, di sinilah tempat yang sesuai untuk menyaksikan keindahan dasar lautnya.

Baru-baru ini, penulis bersama rakan Go_Climb bercuti di Pulau Tioman sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2007. Kami ke pulau ini untuk menyaksikan keindahan dasar laut dan berbasikal merentas jalan berbukit. Kami menginap di Berjaya Tioman Beach Golf & Spa Resort selama tiga hari dua malam.

Perjalanan dari Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi dengan bas menuju ke jeti Tanjong Gemok di Rompin, Pahang. Terdapat sebuah lagi jeti lagi yang boleh digunakan untuk sampai ke Pulau Tioman iaitu jeti Mersing, Johor. Kami sampai dii jeti Tanjong Gemok pada pukul 11.45 pagi.

Tepat pukul 12 tengah hari, kami menaiki feri menuju ke Pulau Tioman sambil melihat keindahan Laut China Selatan dan pulau-pulau kecil berhampiran. Semua yang dilihat menambahkan lagi keasyikan kami untuk menjamu mata sebelum sampai ke pulau indah ini.

Saya dan rakan-rakan sampai di Berjaya Tioman Beach & Spa Resort agak lewat disebabkan feri berhenti untuk menurunkan penumpang di Kampung Mukut, Kampung Nipah, Kampung Genting dan Kampung Paya. Kampung Tekek adalah perhentian feri kami sebelum meneruskan perjalanan dengan bas yang disediakan oleh pihak Berjaya Beach Golf & Spa Resort untuk mendaftar masuk chalet penginapan.

Walaupun lewat sampai iaitu kira-kira 3 petang, pihak resort masih lagi memberi peluang kepada kami untuk menikmati makanan tengah hari yang telah disediakan. Setelah selesai makan dan pendaftaran bilik, saya dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk berbasikal. Ada juga yang menyewa van untuk ke Taman Laut di Kampung Tekek pada pukul 4 petang.

Tidak semua mengikuti aktiviti pada petang ini kerana ada yang keletihan dan memilih untuk berehat setelah perjalanan jauh yang memenatkan.

Setelah agak lama tidak mengayuh basikal kaki memang terasa agak lenguh. Mujurlah ada kawan-kawan yang memberi semangat.

Keadaan jalan yang berbukit dan mendatar membuatkan badan terasa keletihan. Walaupun hembusan angin laut sesekali menyejukkan badan untuk seketika, cuaca panas berbahang menyebabkan Razi dan Rijal terpaksa membuka baju. Nampak seperti pelancong luar pula lagaknya membuatkan kami semua tergelak besar. Bagi mereka yang menyewa van, tiada masalah yang dihadapi dan mereka lebih cepat sampai ke tempat yang dituju berbanding kami yang mengayuh basikal.

Penduduk kampung yang ditemui semuanya peramah, justeru mudah bagi kami mendapatkan maklumat untuk pergi ke sesuatu tempat. Senyuman dan keramahan mereka adalah untuk semua tanpa mengira pelancong dalam atau luar negara.

Di Taman Laut, terdapat kedai yang menyewakan alatan snorkeling. Di jeti taman ini, kelihatan ramai budak-budak kampung sekitar usia lapan hingga 12 tahun melakukan terjunan aksi bebas. Setelah agak lama melihat ikan yang jelas kelihatan dari permukaan laut, saya dan Rijal mempelajari terjunan bebas dari budak-budak kampung tersebut.

Pada mulanya agak berdebar dan ada juga perasaan malu untuk melakukan terjunan dari jeti ke laut dengan kedalaman sekitar 20 kaki hingga 30 kaki. Maklumlah ramai pelancong asing dan tempatan memerhatikan kami. Saya, Rosdi dan Rijal bertekad untuk terjun gaya bebas itu bersama, sehinggakan Roslee menjadi bosan melihat gelagat kami yang kebudak-budakan.

Keseronokan melakukan terjunan membuatkan kami terlupa matahari telah mula melabuhkan tirai bagi menandakan aktiviti hari pertama berakhir. Semua selama sampai di chalet penginapan sekitar pukul 7.45 malam. Aktiviti malam tidak banyak dapat dilakukan dan kami hanya sekadar berbual kosong ditepi pantai sambil mengambil angin.

Keesokan paginya, kicauan burung membangkitkan lena kami daripada tidur pada hari kedua. Selesai solat subuh, semua sepakat menunggu di dewan makan pada pukul 7.30 pagi. Selesai bersarapan, aktiviti berbasikal, treking dan snorkeling bermula lagi. Kami berpecah menjadi kumpulan lebih kecil untuk memudahkan aktiviti dan bertukar pendapat serta cerita.

Kumpulan pertama melakukan aktiviti snorkeling di beberapa buah pulau dan pantai sekitar Tioman sejak pada pukul 10 pagi.

Kumpulan kedua yang berbasikal, treking dan snorkeling di Taman Laut bermula pada waktu yang sama.

Manakala kumpulan ketiga pula menyewa van dan hampir kesemuanya wanita. Tempat tujuan mereka adalah sama iaitu ke Taman Laut.

Tepat waktu dijanjikan, aktiviti bermula dan masih lagi menempuh laluan yang sama seperti hari sebelumnya. Tetapi kali ini, kami mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti penduduk kampung di sepanjang laluan ke Kampung Tekek. Kebanyakannya masih lagi mencari rezeki sebagai nelayan dan pengusaha chalet. Terdapat banyak kemudahan yang sedang dibangunkan di kawasan kampung ini, antaranya kompleks bebas cukai, pejabat imigresen dan jeti kapal layar.

Melalui dereten kedai ke Kampung Tekek, kami tidak melepaskan peluang membeli cenderamata serta baju-T sebagai buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan yang tidak mengikuti percutian ini.

 

Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts