PRESS ROOM

 

KOSMO! newspaper (Malaysia)

15 November 2008

Resepsi Perkahwinan Impian

Peraduan Love Me Do anjuran Berjaya Hotels & Resorts ini menjanjikan satu siri cabaran yang disulami kasih sayang dan keseronokan.




ADAKAH anda dan pasangan sedang merancang untuk berkahwin? Tetapi, anda tidak pasti tema perkahwinan yang bagaimana? Atau bimbang tentang belanja perkahwinan?

Apa kata menangi sebuah resepsi perkahwinan romantik di tepi pantai Pulau Langkawi? Dengan segala-galanya ditaja sepenuhnya meliputi pakaian pengantin, tiket penerbangan, penginapan, dandanan rambut dan solekan wajah serta pelbagai hadiah menarik daripada sejumlah penaja eksklusif.

Bukan itu sahaja. Malah, sembilan bilik twin-sharing tiga malam untuk tetamu pasangan bertuah ini juga merupakan sebahagian daripada hadiah utama bernilai lebih RM100,000 ini?

Untuk memenangi hadiah ini, pasangan peserta perlu melalui satu siri cabaran menerusi peraduan perkahwinan dalam talian, Love Me Do.


BARISAN kereta mewah untuk pengantin baru.


Mendapat inspirasi daripada lagu nyanyian kumpulan Beattles, Love Me Do, peraduan perkahwinan menerusi undian dalam talian ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Begitu pun, peraduan anjuran Berjaya Hotels & Resorts ini menjanjikan satu siri cabaran yang disulami kasih sayang dan keseronokan.

Bagaimana? Menerusi empat peringkat yang merangkumi undian orang ramai, berkongsi hari melalui blog, petikan video, galeri-galeri gambar serta peraduan-peraduan kecil.

Pengarah Komunikasi Pemasaran Berjaya Hotels dan Resorts, Thang Han-Ni berkata, cetusan idea peraduan ini bukan sahaja bersesuaian dengan kecenderungan orang ramai terhadap media-media alternatif.

"Kami juga berharap peraduan yang menawarkan sebuah resepsi perkahwinan impian di tepi pantai ini boleh menarik penyertaan dari segenap lapisan masyarakat.

"Ia sekali gus ingin mengetengah destinasi-destinasi menarik di Malaysia untuk dijadikan lokasi resepsi dan tidak hanya tertumpu di Bali," katanya dalam majlis pelancaran peraduan ini di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang baru-baru ini.


MAJLIS makan turut mendapat tajaan.


Peraduan ini terbuka kepada semua pasangan warganegara Malaysia dan Singapura yang telah mendaftarkan perkahwinan antara Januari 2007 hingga April 2009.

Peringkat pertama yang bermula sejak 30 September lalu adalah fasa pengenalan dan pendaftaran untuk para peserta dan pengundi.

"Fasa kedua pula menyaksikan petikan-petikan video hampir dua minit yang dimuat turun oleh 50 pasangan yang terpilih tentang sebab mereka patut menang. Pada peringkat inilah, proses undian akan bermula," jelasnya lanjut.

Dalam pelancaran peraduan ini tempoh hari, sebanyak 25 buah kereta klasik pelbagai model telah digunakan untuk membawa pihak media ke lokasi romantik Colmar Tropicale.

Selepas itu, tujuh pasangan yang terpilih dikehendaki berkongsi kisah-kisah harian dan pengalaman menyertai acara anjuran Berjaya termasuk sesi fotografi perkahwinan mereka.

Segalanya menerusi tulisan dalam blog. Pada peringkat ini, pengundi perlu memilih tiga blog terbaik.

Dalam peringkat keempat, tiga pasangan dengan undian tertinggi akan memasuki pusingan undian terakhir bagi memastikan pemenang utama.


UNTUK memenangi peraduan ini, peserta perlu melakukan beberapa siri cabaran.


Pasangan yang memperoleh undian tertinggi sekali gus menjadi pemenang utama. Malah, selain hadiah-hadiah menarik, hari bahagia pasangan bertuah yang telah ditetapkan pada April 2009 itu juga boleh dikongsi bersama 58 ahli keluarga dan kenalan rapat.

Antara jenama penaja yang terlibat dalam peraduan ini termasuk Nupts & Such, Charles & Keith, Noir, Ralph Lauren Romance dan Shu Uemura serta fotografi oleh jurugambar profesional terkemuka, Edmund Tham.

Setakat hari ini, sekitar 1,200 pasangan telah mendaftarkan penyertaan. Sementara itu, laman Love Me Do dalam rangkaian Facebook telah pun berjaya mengumpul lebih 370 orang peminat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.lovemedo.com.my.


Courtesy from kosmo.com.my


Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts