PRESS ROOM

 
Harian Metro newspaper (Malaysia)
11 October 2007




" Gila air" tidak puas berendam

LAYANAN BAK PUTERI... spa untuk melepaskan tekanan. PERKAMPUNGAN MELAYU... vile kayu di celah kehijauan hutan tepi pantai.

"Jika Tan Sri (Vincent Tan) datang, botnya tidak terus ke jeti. Sebaliknya, akan berhenti di pelantar ini, sebelum beliau berenang ke pantai," kata Man, pemandu bot kami sambil menunjukkan kedudukan pelantar berkenaan.

Tokoh perniagaan yang juga Ketua Eksekutif Berjaya Corporation itu mempunyai banyak alasan untuk berbuat demikian. Manakan tidak, kedudukan Berjaya Redang Beach Resort di Teluk Dalam menjadikan perairannya begitu tenang.

Ditambah dengan kejernihan air lautnya sudah mampu membuatkan siapa saja yang "gila air" tidak puas berendam apabila menginap di pusat peranginan ini. Ini belum lagi menjejakkan kaki ke atas pantainya yang panjang.

"Ikutkan hati,rasa tak mahu pulang," kata rakan media dari produksi tempatan ketika melepak bersama di deretan "cabbana" yang berdepan dengan kawasan pantai.

Kunjungan media ke Berjaya Redang adalah sempena dengan International World Clean-up Day 2007. Untuk peserta yang bukan penyelam, masa terluang diisi dengan mengikuti aktiviti "snorkling" yang diaturkan pengurusan.

Bahagian rekreasi hotel ini mempunyai pelbagai pilihan aktiviti. Dari selam skuba, "island hopping" and "jungle trekking", semuanya boleh dilakukan dengan bantuan juru pandu terlatih.

Jika tertinggal bot untuk ke lokasi popular termasuk Teluk Mat Delah dan Pulau Paku, mereka yang mahu snorkling boleh melakukannya di sekitar kawasan pantai.

Tidak perlu pergi jauh untuk melihat "soft coral" dan ikan, semua ada di bahagian kiri pantai.
Jika mahu "mengumpan" kehadiran banyak ikan, anda hanya perlu berenang dengan sebuku roti. Nah, jangan terkejut jika melihat segerombolan ikan meluru untuk mendapatkan makanan.

Lokasinya juga menjadi antara sebab beberapa penyu mendarat untuk bertelur di kawasan pantai. Ini dapat dilihat menerusi kesan pendaratan haiwan itu di pagi hari.

Untuk menjejak haiwan itu secara dekat di sekitar kawasan pantai, "turtle watching" dengan bayaran RM40 untuk tempoh 45 minit diadakan mengikut permintaan.

Lewat petang, kawasan pantai meriah apabila tetamu dari pelbagai kenegaraan membentuk dua pasukan dalam bola tampar.
Untuk yang malas bersukan, mereka boleh duduk bersantai, membaca atau berbual kosong di deretan "cabbana" di sepanjang pantai.

Memerhatikan matahari terbenam - sama ada dari balkoni, tepi pantai atau ketika berkayak, ia adalah pemandangan paling dinantikan di sini.

Tetamu boleh memilih sama ada tinggal di salah dari 266 bilik dan suitenya. Sama ada Redang Hill view atau Redang Seaview atau Garden View Suite, semuanya dibina berdepan dengan kawasan pantai.

Selam skuba adalah antara pakej laris di Berjaya Redang. PADI Gold Palm Resort Dive Centre sudah lama dikenali di peringkat antarabangsa dengan pengiktirafan profesional lima bintang.

Info

  • Cara paling mudah ke Redang adalah dengan menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Terminal 3) atau Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

  • Berjaya Air (www.berjaya-air.com) mengadakan penerbangan harian dengan pesawat 48 tempat duduk, mengambil masa kira-kira sejam 15 minit. Berjaya Redang terletak lima minit dari Lapangan Terbang Redang.

  • Untuk maklumat terkini mengenai promosi terkini, layari www.berjayahotels-resorts.com Untuk tempahan, hubungi 03-2141 0088. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pulau Redang, layari www.redang.org.

 

Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts