Berita Harian newspaper (Malaysia) |
07 November 2008
|
Majlis Perkahwinan Fantasi
| |
 |
| |
Majlis perkahwinan fantasi dengan suasana romantik dan eksklusif jadi impian pasangan pengantin. |
Perkahwinan Tom Cruise dan Katie Holmes di istana lama yang terletak di Bracciano, Itali dikatakan antara majlis perkahwinana paling romantis pernah diadakan. Ia majlis mewah yang mungkin tidak mampu dijadikan kenyataan oleh kebanyakan bakal mempelai. Tetamu terpukau dengan kejelitaan Katie Holmes yang menggayakan gaun rekaan Giorgio Armani. Suasana romantis menyelubungi persekitaran istana ditambah dengan percikan bunga api yang diselang-seli dengan alunan suara penyanyi tenor Itali, Andrea Bocelli.
Merancang majlis seumpama itu tetapi kurang bajet? Jangan bimbang kerana anda juga boleh melakukannya tanpa perlu ke Itali untuk mencari istana lama. Lokasi pelancongan di Negara kita juga tidak kurang hebatnya kerana banyak menawarkan tempat menarik termasuk istana lama yang bersejarah. Jika menginginkan perkahwinan ala TomKat itu, apa kata anda ke Bukit Tinggi, Pahang atau Berjaya Hills yang memiliki seni bina seakan istana lama di Perancis.
Bukit Tinggi, Pahang bukan saja membuatkan anda berasa seakan berada di kota lama Perancis tetapi juga menjadikan perkahwinan anda umpama kisah dongeng raja dulu kala. Berlokasi di kawasan perbukitan memberikan semangat baru untuk anda memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Hotel, restoran dan kedai makan kecil juga dibina dengan berciri seni bina perkampungan Colmar di Alsace, Perancis abad ke 16 menyemarakkan suasana perkahwinan di alam fantasi.
Pengalaman ini dirasai lebih 30 wakil media tempatan apabila Berjaya Hotels & Resorts membawa kami menikmati alam perkahwinan fantasi di Colmar Tropicale, Berjaya Hills sempena pelancaran peraduan Perkahwinan Impian, “Love Me Do!” baru-baru ini. Semua wakil media dibawa berarak dengan kereta antic berhias bunga dan reben pengantin bermula dari Berjaya Times Square sehingga ke Berjaya Hills, Pahang. Terletak lebih 1,000 meter di atas paras laut, Berjaya Hills adalah kawasan percutian perbukitan di Pahang.
Bayangkan betapa romantiknya perjalanan anda berdua dengan kereta antic berusia lebih 60 tahun yg dihiasi bunga dan reben siap dengan pemandunya sekali! Pilih saja kereta kegemaran anda sama ada Volvo, Jaguar, Dohc, Bufori, Fiat malah kereta jip beratap rumbia bagi membawa anda berdua ke destinasi penuh romantik. Lebih menarik, setiap kereta terjaga dengan begitu baik oleh pemiliknya membuatkan setiap mata tidak lepas memandang ketika melintasi kami.
Perjalanan selama 45 minit dari Kuala Lumpur tidak sedikitpun meletihkan sebaik ketibaan kami disambut pemandangan hijau di sepanjang jalan mendaki bukit landai itu. Sebaik tiba, anda tiba-tiba berasakan berada di alam lain yang penuh ketenangan. Berjaya Hills terletak di tengah kawasan bukit dan gunung sememangnya sesuai untuk pasangan yang cintakan alam semula jadi.
Sebelum menjelang makan malam, peserta dibawa menikmati pengalaman pengantin di perkampungan budaya Jepun yang terletak di tengah rimbunan hijau. Pasangan pengantin boleh berehat bagi menghilangkan keletihan di Tatami Spa yang dikelilingi taman Jepun yang indah. Desiran air dan bunyi-bunyian hidup di situ seakan membuai minda dan tubuh anda.
 |
|
 |
|
| MAJLIS perkahwinan bagaikan fantasi berlatarbelakangkan perkampungan Colmar. |
|
DERETAN kereta antik yang membawa pasangan pengantin. |
|
| |
 |
| |
HIMPUNAN kek yang dihias wakil media. |
Selesai menikmati urutan bahu dan belakang, anda boleh belajar cara-cara menghadiri majlis minum teh atau Cha-No-Yu yang juga menjadi antara adat dalam perkahwinan pasangan Jepun di The Japanese Tea House. Matlamat utama Cha-No-Yu adalah untuk mengeratkan hubungan antara tuan rumah dan tetamu selepas penat bekerja. Acara ini menekankan kepentingan aspek spiritual yang mana kesucian amat penting. Ia mengajar seseorang agar menghormati setiap orang tanpa mengira status. Justeru, tidak hairanlah majlis minum teh ini begitu bersopan dan tertib.
Menjelang senja, anda boleh menikmati panorama langit petang yang pastinya sukar di lihat ketika berada di tengah kesibukan bandar raya. Ketika udara mula bertiup lembut dengan kedinginan yang menyapa tubuh, majlis makan malam bermula. Hiasan meja makan, pentas bersanding dan sinar lilin menambah romantik. Perkampungan Colmar bagaikan bertukar kepada istana kayangan dulu kala yang indah. Penuh kesederhanaan, ia melambangkan majlis makan malam perkahwinan di bawah bintang yang begitu tenang, ringkas dan eksklusif. Mungkinkan ini perkahwinan impian yang anda idamkan?
INFO : Pertandingan Perkahwinan Impian Love Me Do!
- Pertandingan dilakukan secara online selama enam bulan.
- Terbahagi kepada empat fasa, anda boleh menyertainya dengan mendaftar secara online di laman web, www.lovemedo.com.my .
- Pendaftaran bermula 14 Oktober sehingga 23 November.
- Berjaya Hotels & Resorts akan memilih 50 pasangan untuk ke fasa kedua dan seterusnya yang memerlukan anda menghantar video, mengemaskini laman blog peribadi mereka bagi berkongsi pengalaman sepanjang menyertai pertandingan berkenaan dan tiga peserta akan terpilih untuk ke pertandingan akhir
- Juara akan ditentukan oleh orang ramai yang mengundi melalui laman web berkenaan. Pertandingan dijangka tamat pada Mac 2009.
- Pasangan yang ingin menyertai pertandingan ini perlu berkahwin secara sah bermula Januari 2007.
- Anda berpeluang memenangi hadiah lumayan iaitu tajaan Perkahwinan Impian di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort untuk pasangan bertuah.
|