PRESS ROOM

 

Harian Metro newspaper (Malaysia)

03 January 2008

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah (srul@hmetro.com.my)

Pulihara penyu di Chagar Hutan

COMEL...anak penyu ditetaskan di Chagar Hutan.

SATU dalam seribu. Itulah kebarangkalian anak penyu yang ditetaskan berjaya hidup sehingga usia 25 hingga 50 tahun. Ancaman semula jadi dan aktiviti memburu penyu ini menyebabkan bilangan penyu yang kembali mendarat untuk bertelur semakin berkurangan setiap tahun.

Daripada tujuh spesies penyu laut di dunia, empat daripadanya mendarat dan bertelur di persisiran pantai Malaysia.

Semuanya – penyu belimbing, penyu agar dan penyu lipas – dimasukkan dalam senarai spesies terancam.

Data terkini menunjukkan penyu belimbing besar, yang pernah menjadi tarikan utama pengunjung ke Rantau Abang, 56 kilometer dari Kuala Terengganu mungkin tidak akan kembali lagi.

Ini berikutan penurunan mendadak sehingga 99 peratus bilangan sarang berbanding 30 tahun lalu. Nasib penyu lipas yang bersaiz lebih kecil juga sama apabila sarang spesies ini turun mendadak sehingga 88 peratus berbanding 30 tahun lalu.

RINGAN...anak penyu seberat 35 dan 45 gram.

Jika anda melihat kelibat penyu di Redang, hidupan itu mungkin daripada spesies agar dan karah. Spesies terancam ini kini mendapat perhatian khusus daripada Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru), Universiti Malaysia Terengganu.

Diketuai Profesor Dr Chan Eng-Heng, unit itu memulakan projek pemuliharaan penyu di Chagar Hutan, pantai sepanjang 300 meter dei utara Pulau Redang.

Tiada penempatan manusia di sini. Bot nelayan dan penduduk tempatan juga tidak dibenarkan mendarat. Apa yang ada hanya pondok kecil menempatkan dua kakitangan Seatru dan sukarelawan yang bertukar setiap minggu.

“Sebarang aktiviti manusia boleh menyebabkan penyu mungkin terkeliru apabila mahu naik ke pantai,” kata Dr Chan. Antara 1993 dan 2000, lebih 250,000 anak penyu berjaya ditetaskan menerusi projek itu.

Wakil media mengunjungi projek itu atas jemputan Berjaya Redang Beach Resort, awal bulan lalu.

PUTIH...pantai Berjaya Redang Resort ada kala menjadi tempat penyu mendarat.

Ini memudahkan kami melihat penyu di sekitar perairan pulau itu.

Chagar Hutan bukan lokasi awam yang boleh dikunjungi sesuka hati. Lawatan ekslusif media ini juga julung kali diadakan selepas lama tapak ini beroperasi.

Di Chagar Hutan, antara 10 hingga 15 penyu mendarat setiap malam terutama Jun dan Julai.

Sukarelawan akan memastikan lubang telur ini selamat daripada ancaman haiwan pemangsa seperti biawak.

Dr Chan berkata, antara sebab utama kepupusan penyu adalah aktiviti penjualan telur penyu oleh penduduk tempatan. Selain itu, ia diburu kerana ada beranggapan ia manfaat besar untuk memantapkan tenaga batin lelaki.

“Daripada ribuan anak penyu yang berlari ke laut, banyak yang mati di pantai apabila diserang haiwan pemangsa. Apabila masuk ke dalam air, ia berdepan dengan ancaman daripada hidupan laut,” katanya.

Pencemaran laut oleh manusia juga menyumbang kepada masalah ini. Beberapa spesies penyu yang lebih kecil seperti lipas mungkin termakan plastik sampah yang hanyut kerana menyangka ia terumbu karang.

Untuk mereka yang mahu menjadi sukarelawan, boleh berbuat demikian dengan melayari laman, www.umt.edu.my/seatru.

Info

  • Penyu yang sedang bertelur seolah-olah kelihatan bersedih atau mengalirkan air mata, namun sebenarnya ia Cuma menyingkirkan garam berlebihan dalam tubuhnya.
  • Penyu betina mengambil masa tiga jam singgah ke darat, bermula dari proses mencari tempat, mengorek lubang, melepaskan telur dan kembali ke laut.
  • Tapak laluan penyu boleh dikatakan seolah-olah tapak tayar lori atau jip.
  • Penyu betina boleh bertelur 100 hingga 150 biji telur dalam setiap sarang.
  • Telur penyu mengambil masa 50 hingga 60 untuk menetas.
  • Penyu tidak akan mendarat untuk bertelur jika pantai tercemar dan terlalu terang pada waktu malam.

 

Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts