PRESS ROOM

 

Jelita Magazine (Malaysia)

01 December 2008

 

Written by Norazlina Kamarudin
Photograph by Mohd Iqram Md Ramli

Sejuta Kenangan Indah di Bukit Tinggi



Saat menerima berita saya akan ke Bukit Tinggi, Pahang selama dua hari, timbul keresahan dalam hati. Maklumlah sejak bergelar penulis, ini tugasan pertama yang memerlukan saya keluar dari Kuala Lumpur. Namun tidak dapat dinafikan terselit perasaan teruja kerana kali pertama menjejakkan kaki di Bukit Tinggi. Atur cara bersempena pelancaran laman web pertandingan perkahwinan Love Me Do oleh Berjaya Hotels & Resorts saya terima dengan senang hati. Mana tidaknya, saya dan rakan media bakal menaiki kereta klasik yang dihiasi seperti kereta pengantin dari Berjaya Times Square Kuala Lumpur ke Bukit Tinggi.

 
Deretan kereta klasik berhias indah.  
   

Terpegun melihat persiapan
Seawal jam 8.30 pagi 14 Oktober 2008 rakan media berkumpul di Starbucks Berjaya Times Square untuk menikmati sarapan sebelum bertolak ke Bukit Tinggi. Masing-masing tidak sabar meneruskan perjalanan dengan kereta klasik berhias indah.

Secawan teh, sandwich dan sepotong roti sudah cukup mengenyangkan saya dan rakan jurugambar. Sempat juga mencari kenalan untuk dibuat teman berbual sepanjang program. Setelah mendengar penerangan daripada wakil Berjaya Hotels & Resorts, kami dibawa memilih kereta klasik. Melihat deretan kereta klasik berhias bunga dan reben membuatkan saya berangan-angan seketika. Indahnya perasaan Tuhan sahaja yang tahu.

 
  Penulis merakam foto kenangan bersama kuda.
   

Mercedes XL Klasik
Saya dan rakan, Zura dari Cosmopolitan memilih Mercedes XL merah tanpa bumbung. Masing-masing tersenyum puas kerana memang dari awal lagi kami sudah berangan-angan untuk menaiki kereta itu. Empunya kereta yang dikenali sebagai Pakcik Hassan ramah dan mesra orangnya. Perjalanan ke Bukit Tinggi bermula pada jam 11.00 pagi. Perarakan 25 kereta klasik menarik perhatian pengguna jalan raya. Ramai mengambil kesempatan merakam foto rombongan kami.

Hassan membiarkan kereta bergerak tanpa bumbung walaupun cuaca panas. Setelah seketika dalam perjalanan barulah kami sedar dan faham mengapa Hassan berbuat demikian. Pemandangan indah kota metropolitan Kuala Lumpur dapat kami nikmati sepuasnya. Walau sedikit panas namun tubuh terasa selesa dengan deruan angina yang rakus meniup rambut saya dan Zura. Terasa macam bintang popular dibawa berarak.

Dugaan tidak mematahkan semangat  
Ketika enak dibuai perasaan umpama bintang Hollywood dalam kereta tidak berbumbung, wajah Hassan tiba-tiba berubah gusar. Rupa-rupanya enjin kereta tiba-tiba terhenti. Inilah akibat terlalu asyik melayan perasaan. Sampai kereta sudah bergerak perlahan pun tidak saya sedari. Kereta beredar ke bahu jalan raya. Tidak pula saya pasti lokasi kami ketika itu. Maklumlah, saya ini ‘buta’ jalan orangnya. Nasib baik kerosakan itu mendapat perhatian pemandun kereta klasik yang lain. Mereka turut menghentikan kenderaan mereka dibahu jalan. Setelah tiada jalan keluar, saya dan tiga lagi rakan media meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi menaiki kereta seorang daripada pemandu yang membantu. Walau berat hati, kami terpaksa meninggalkan Hassan kerana tidak mahu ketinggalan dalam kegiatan yang direncanakan.

 
Penulis bergambar dengan kereta pilihan hati bersama rakan dan Hassan.  

Colmar Tropicale menanti kedatangan
Tiba di Colmar Tropicale, kami disambut bak puteri. Pintu kereta kami dibuka wakil pusat peranginan itu. Bijak sungguh mereka mengatur rancangan bagi kami menikmati pengalaman sebagai raja sehari setiba disana.

Ketika menyertai rakan media lain di pintu masuk Colmar Tropicale, kami berempat dihujani persoalan kerana lewat. Masing-masing menyatakan simpati setelah mendengar cerita kereta pilihan saya dan rakan, Zura tersadai di tepi jalan.

Bangunan bercita rasa Perancis di Colmar Tropicale cantik dan unik. Melihat keindahannya sahaja sudah mampu menggamit rasa romantik di jiwa. Memang sesuai untuk dijadikan lokasi berbulan madu bagi pasangan yang baru berkahwin. Kami dimaklumkan ada banyak lagi tanda dan adat simbolik ikatan perkahwinan akan kami alami sepanjang dua hari di sana.

Penyediaan dan minuman teh di Tea House & Garden.

Kali pertama menghias kek

 
Tempat pasangan pengantin menunggu sebelum upacara minum teh Jepun.  
   

Selepas membasahkan tekak, kami dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memudahkan perjalanan kegiatan sepanjang hari kami di sana. Kami diarah untuk mengambil satu reben di dalam bekas dan beras untuk menentukan kumpulan yang diketuai dua wakil Berjaya Hotels & Resorts, Ashley Liew dan Andrea Liong. Setelah membuat cabutan reben, saya dan beberapa wakil media berada di dalam kumpulan Andrea.

Ketika melihat atur cara menghias kek sewaktu menerima tugasan, saya tidak ambil endah kerana pada fikiran saya, saya hanya perlu melihat orang lain menghias kek. Rupa-rupanya rakan media diminta untuk menghias kek. Alamak! Saya menelan air liur. Buat kek pun tidak pernah, inikan pula hendak menghias kek. Mesti kelam kabut kek saya nanti. Ada juga rakan lain turut berkongsi perasaan yang sama, tetapi tidak megapa, buat sahajalah. Boleh juga menguji kreativiti diri sendiri. Masing-masing tidak mahu ketinggalan menunjukkan kesungguhan menghias kek. Kami semua gembira menikmati saat bermain krim dan bahan-bahan hiasan kek yang lain.

* Beras sengaja diletakkan di dalam bekas reben sebagai simbol sewaktu memeterai ikatan perkahwinan. Beras membawa maksud kehidupan dan kesuburan agar pasangan dikurnia zuriat yang ramai. (Menjadi adat istiadat dan kepercayaan perkahwinan di Mesir, Eropah, England dan Amerika).
* Kek membawa unsur kemanisan. Biasanya potongan kek pertama disuapkan ke mulut pengantin perempuan dan lelaki bagi langkah pertama mereka melayari kehidupan perkahwinan penuh bahagia. (Popular di England dan semakin menjadi ikutan masyarakat seantero dunia).

Jamu selera hidangan Jepun
Selepas menghias kek, kumpulan kami bergegas meneruskan perjalanan ke Perkampungan Jepun menaiki sebuah kenderaan khas berbentuk seperti bas kecil tidak berpintu dan mempunyai deretan kerusi panjang di belakang. Perut masing-masing sudah berkeroncong. Tidak sabar untuk menikmati hidangan makan tengahari di sana.

Kami dihidangkan minuman tradisional Jepun, sake ketika tiba di Restoran Ryo Zan Tei. Rasanya sama seperti teh herba atau teh hijau. Sambil menunggu makanan dihidangkan, kami dimaklumkan peluang melihat monyet dan kera pelbagai jenis di restoran itu jika bernasib baik. Namun, sehingga selesai makan, bayang seekor monyet atau kera pun tidak kelihatan. Ternyata nasib tidak menyebelahi kami kali ini.

Tatami Spa dan minum teh di Tea House & Garden
Perjalanan kumpulan kami diteruskan ke Tatami Spa. Peluang merehatkan badan dengan urut 30 minit kaki dan tangan. Sebelum itu, saya dan rakan dibawa melihat kawasan sekeliling spa. Saya pasti semua pengunjung spa berasa tenang dengan layanan mesra kakitangan spa dan persekitaran hijau di sana. Oleh kerana letih mendaki bukit dari restoran ke Tatami Spa, kami berurut. Saya benar-benar menikmati saat diurut pekerja bernama Ayu. Tangan, kaki dan badan terasa ringan selepas urut.

Tempat untuk menyaksikan upacara penyediaan dan minum teh mengikut cara Jepun hanya berhadapan dengan Tatami Spa. Cara penyediaan teh kami amati penuh teliti kerana tertarik dengan tertib pergerakan gadis yang memperlihatkan kami upacara itu. Dari awal hingga akhir, pelbagai pantang larang dan adat perlu dipatuhi. Hampir 40 minit diambil untuk menyelesaikan adat ini. Bermula dengan mencuci tangan kiri dan kanan di luar rumah, masuk ke dalam rumah dengan cara membongkokkan badan dari pintu kecil, tertib jalan dengan hanya menyeret kedua-dua kaki (kedua-dua tapak kaki tidak boleh lepas dari lantai rumah yang dipenuhi tikar tatami) sehinggalah ke acara tunduk hormat pada tetamu dan mangkuk teh sebelum diminum sangat menarik minat kami.

* Upacara minum teh yang dikenali sebagai San San Kudo secara tradisinya turut disertai kata-kata romantik dari pasangan pengantin di hadapan semua ahli keluarga bagi lambing penyatuan hidup mereka. (Istiadat perkahwinan di Jepun).

Masa untuk berehat
Jam 4.30 petang kegiatan di Perkampungan Jepun tamat. Girangnya hati tatkala memikirkan kami akan melihat bilik masing-masing. Sejak sampai di situ, ini adalah kali pertama kami berpeluang melihat bilik. Atur cara makan malam jam 6.00 petang. Saya cuma ada satu jam untuk berehat dan bersiap.

Wow! Cantiknya bilik saya. Katil bertiang dan bertirai di sisi, tilam empuk, balkoni berhadapan dengan padang golf dan buah-buahan segar di atas meja semuanya mengujakan. Tetapi semuanya perlu saya lupakan seketika kerana harus bersiap untuk makan malam. Alamak, hampir terlupa untuk melengkapkan kata-kata romantik untuk pertandingan ‘The Wedding Vow’.

* Kata-kata romantik berisi impian, harapan dan kata pujian mengenai pasangan dilafazkan pengantin selepas upacara memotong kek sebagai tanda penerimaan tanggungjawab, kerjasama dan persediaan melangkah ke alam baru.

Makan malam bertemankan bintang dan bulan
Menu hidangan Perancis sebagai makan malam kami. Dekorasi laman terbuka untuk kami menikmati makan malam terhias indah dengan bunga-bungaan. Seorang model perempuan berpakaian pengantin berlegar-legar menyapa semua yang hadir menyerikan lagi perasmian laman web Love Me Do. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil Berjaya Hotels & Resorts dan disusuli dengan pelancaran laman web Love Me Do. Selesai pelancaran kami terus menikmati makan malam tanpa sepatah bicara. Masing-masing asyik menikmati hidangan sambil menonton rakaman video perjalanan kami dari Berjaya Times Square ke Bukit Tinggi. Sambil menikmati keenakan makan malam, majlis diselitkan dengan pengumuman pemenang untuk pertandingan menghias kek, The Wedding Vow dan cabutan bertuah. Puas menunggu nama dipanggil untuk menerima hadiah, namun tidak rakan semeja saya ‘bertuah’ malam itu. Hampa betul kami semua.

Kejutan

 
  Mengabadikan gambar bersama kek yang dihias sendiri.
   

Saya kembali ke kamar beradu pada jam 11.00 malam. Alangkah terkejutnya apabila melihat sekuntum Orkid dan nota ringkas selamat malam di atas katil. Tambah menarik hidangan Cina, Tang Yuen turut berada di atas meja. Selepas mandi Tang Yuen saya nikmati bersama buah-buahan segar.

Jam 9.00 pagi loceng pintu berbunyi. Malasnya hendak bangun. Aktiviti kami pada pagi itu sepatutnya bermula jam 10.30 pagi. Mengapa seawal jam ini loceng bilik sudah dibunyikan? Dengan rasa malas pintu kamar saya buka. Aduh! Macam mana boleh terlupa. Sarapan pagi di atas katil. Sememangnya inilah saat yang saya nanti-nantikan sepanjang berada di sini. Biasanya pasangan pengantin baru memilih untuk menikmati sarapan pagi di atas katil sahaja. Romantik sangat. Malangnya, saya seorang diri di sana.

* Tang Yuen ialah bebola pau kecil berisi kekacang. Ibu pengantin perempuan akan menyuap Tang Yuen ke mulut anak perempuan mereka pada malam sebelum hari perkahwinan. Bakal pengantin perempuan perlu menelan ketulan pau kecil tanpa menggigitnya sebagai tanda kehidupan tanpa masalah pada masa hadapan. (Adat perkahwinan masyarakat Cina).
* Sarapan yang disediakan pengantin perempuan di rumah mentua penting sebagai tanda hormat. Namun ramai keluarga mentua memanjakan pasangan pengantin dengan sarapan di atas katil.

Jinak dan bijak beraksi
10.30 pagi saya dan rakan-rakan lain berkumpul di laman terbuka Colmar Tropicale. Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya berpeluang merakam foto dengan dua ekor kuda bagi melengkapkan kegiatan pagi rombongan kami di sana.

Kuda yang ditunggang sangat jinak. Walau kali pertama berjumpa, kuda ini sudah melentok-lentokkan kepala mereka ketika bergambar. Bijak sungguh memberi aksi menarik untuk lensa kamera. Atur cara melawat ladang arnab terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan masa. Pada jam 12.30 tengah hari kami pulang ke Kuala Lumpur dan tiba di Berjaya Times Square pada jam 3.00 petang.

Pulangnya saya dengan membawa kenangan romantik yang sukar dilupakan. Terima kasih kepada Berjaya Hotels & Resorts atas undangan yang cukup menarik ini. Kenangan ini pasti akan saya abadikan sampai bila-bila.

Untuk keterangan lanjut mengenai pertandingan memori perkahwinan Love Me Do, sila layari www.lovemedo.com.my .


Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts